• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PAS Terbuka Bekerjasama Bentuk Keluarga Malaysia Lebih Harmoni

KUALA TERENGGANU, 7 November-Sebagai komponen dalam kerajaan  PAS sedia untuk berunding dengan semua pihak bukan sahaja UMNO serta parti-parti politik yang ada dalam negara termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak-pihak tertentu ke arah pembentukan keluarga Malaysia yang lebih harmoni.

Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kerana itu pada muktamar kali ini, bertemakan penyatuan ummah dan perpaduan.

"Kita PAS masih lagi melihat kepada asas yang global dan besar melalui penyatuan melibatkan parti-parti politik dan sebagainya.

"Jangan jadikan faktor berbeza pandangan seperti dalam pilihan raya, ada masa kita cuba elak, ada masa kita tidak boleh hendak elak, tetapi jangan sampai memabawa masalah kepada penyatuan ummah.

"Kerana ia merupakan satu gagasan yang lagi besar yang kita hendak bawa," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, pada Muktamah Tahunan PAS Kali Ke-67, di Duyong Marina & Resort, di sini, semalam.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri(PRN) Melaka, beliau mengakui sedikit rasa kecewa dengan tindakan UMNO untuk bertanding semua kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka namun ia bukan memberi gambaran sebenar pada jangka masa akan datang terutama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

"Pada awal perbicangan positif, agar tidak bertembung sesama parti komponen dalam kerajaan melalui rundingan awal, namun berlaku sebaliknya pada hujungnya.

"Bila UMNO isytihar nak bertanding 28 kerusi maka Perikatan Nasional (PN) tidak ada pilihan, terpaksa menghadapi bersama dengan komponen-komponen yang lain. Jadi kita sedia untuk PRN.

"PAS bertanding atas tiket PN kerana ia berdaftar sebagai parti politik, sebaliknya Muafakat Nasional (MN) tidak berdaftar sebagai parti politik, namun bagi kami (PAS) MN merupakan satu medan besar untuk penyatuan ummah bukan semata-mata untuk menghadapi pilihan raya sahaja yang mana ia juga merupakan gagasan ummah," ujarnya lagi.

 

 


Tag: