• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PAS Terengganu Siap Hadapi Kemungkinan


Satiful Bahri Mamat.
DUNGUN, 27 Februari - PAS Terengganu bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku dalam kemelut politik tanah air ketika ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat menyifatkan, konflik dalam Kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah sebelum ini merupakan yang terbesar pernah berlaku.

“Situasi sekarang tidak sebagaimana yang kita nampak, ia menjurus kepada pelbagai arah yang tidak dijangka.

“Setakat ini, kita bersetuju dengan keputusan  yang ditentukan oleh kepimpinan pusat kedua-dua parti dan dalam masa sama kita juga bersedia untuk menghadapi apa-apa kemungkinan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah.

Jelasnya, rakyat Malaysia bagaimanapun perlu taat menanti titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah terhadap perkara ini.

“Kita jelas dengan perkara ini. Secara peribadi, saya mengharapkan keputusan yang diputuskan akan menghasilkan kestabilan dalam negara sama ada dari segi ekonomi, keselamatan negara dan perpaduan antara kaum.

“Sebagaimana yang diutarakan oleh wakil MN iaitu Dato’ Seri Anuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang media lalu, lebih baik keputusan diserahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang lebih stabil dan mampu memperbaiki isu-isu yang berlaku dalam negara,” katanya.


Tag: