• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

PAS Teruskan Usaha Elak Pertembungan Parti Melayu Pada PRU-15

KUALA NERUS, 6 Oktober- Parti Islam SeMalaysia (PAS) kekal komited dalam usaha menyatukan perpaduan di kalangan parti-parti dikuasai orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15, sebagaimana hasrat asal penubuhan Perikatan Nasional.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pihaknya masih berusaha mengelakkan pertembungan dengan UMNO dalam PRU nanti.

Beliau yang juga merupakan Menteri Besar Terengganu berkata, mengelakkan pertembungan dengan UMNO samada di negeri Terengganu atau negeri-negeri lain merupakan keputusan terbaik yang harus dipilih.

“Mengelakkan pertembungan dengan UMNO itulah paling ideal, sebab kita melihat secara menyeluruh maksud perpaduan ini.

“Bukan Terengganu sahaja, kita melihat samada ia boleh dicapai atau tidak, kita tengoklah.

“Saya percaya UMNO Terengganu tertakluk kepada (keputusan) UMNO Pusat, jadi jika kita tidak boleh buat (muafakat) dengan UMNO Terengganu, kita buat dengan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Negeri Terengganu Darul Iman di Dataran Masjid Seberang Takir, hari ini.

Jelasnya, PAS masih kekal dengan pendirian asal untuk tidak melakukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tidak negeri di bawah pentadbirannya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Semuanya akan bergantung kepada perbincangan dan pendirian PAS Pusat. Kita akan bincang balik pada Sabtu tetapi setakat hari ini, saya difahamkan ketiga-tiga negeri tidak akan membubarkan DUN sekiranya berlaku pembubaran dalam waktu terdekat,” katanya.


Tag: