• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

PAS Tiada Masalah Sesiapa Nak Isytihar Harta

MARANG, 11 November - PAS tiada masalah dengan mana-mana pihak atau individu yang ingin menyisytiharkan harta pada musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walau bagaimanapun berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai wayang jika ia hanya dibuat menjelang hari pengundian.

Katanya, langkah itu sebenarnya boleh dibuat sebelum musim PRU dan bukan semata-mata demi mengaburi mata orang ramai.

"Pengisytiharan harta bukan hanya boleh dibuat pada minggu atau waktu pilihan raya ini, ia boleh dibuat bertahun-tahun dulu atau pada bila masa-masa.

"Masyarakat setempat boleh menilai dan lebih tahu (harta) calon PAS yang kita ketengahkan, harta kita tak sampai juta-juta, PAS tiada kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa macam parti lain, namun PAS tiada masalah sesiapa nak umum," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila pagi tadi.

Abdul Hadi ketika berprogram bersama masyarakat di marang hari ini.

Untuk rekod, DAP juga merupakan antara parti yang tidak mewajibkan calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan beliau mengabaikan tugas sebagai Ahli Parlimen, Abdul Hadi berkata pengerusi PH itu tidak layak bercakap soal itu.

"Rakyat yang menilai, penduduk di kawasan saya menilai, buktinya saya terus diberi kepercayaan menjadi Ahli Parlimen Marang.

"Saya mendapat sokongan majoriti rakyat bukan hanya orang islam, bahkan bukan islam contohnya yang ada di Wakaf Tapai, Marang.

"Kita dengar penilaian pengundi kita, bukan orang yang duduk jauh," tambah beliau.


Tag: