• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Tidak Gopoh Kait Buah Yang Belum Ranum! – Abdul Hadi

MARANG, 14 Oktober – Keputusan PAS yang mengambil langkah mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bukannya dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRU ke-15 disifatkan tidak tergopoh-gopoh mengait buah yang belum masak.

Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, umpama buah durian, usah kait cepat sangat, kalau kait cepat sangat, belum sempat masak lagi dan apabila kita makan akan menyebabkan kembung perut.

“Begitulah diumpamakan bukannya kita nak bermusuh dengan UMNO, oleh kerana ada kekeruhan kita tangguh dulu. Oleh sebab itu, kita mengambil kesempatan untuk menjernihkan keadaan dulu.

"Apa yang penting kita nak ajak semua rakyat Islam dan orang bukan Islam tolak penerima dan pemberi rasuah. Tolak yang 'keruh' pilih yang nak menjernihkan keadaan," katanya ketika menyampaikan Kuliah Dhuha sempena Karnival TMBS DUN Rhu Rendang di Pantai Kelulut, di sini, pada Jumaat.

Beliau turut menyeru agar semua ahli PAS terus bekerja melaksanakan amar makruf nahi mungkar, Walaupun ini lebih payah, lebih senangnya dengan UMNO lah, boleh menang cepat, tetapi PAS tidak gopoh.

“Keputusan demi prinsip penyatuan ummah bersama PN ini diambil untuk biar buah durian masak betul-betul dulu. Saya tahu ada orang PAS ni tak tahan, terliur sangat, nak makan pengat durian. Hakikatnya durian mentah lagi, kena sabar dulu biar masak molek dulu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan PAS membuat keputusan untuk menggunakan simbol sendiri iaitu bulan memandangkan parti berkenaan mempunyai sokongan padu di tiga negeri tersebut.

Tiga negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah akan menggunakan lambang parti sendiri bagi semua calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Categories: Utama, Semasa, Politik
Tags:
Keywords: (no set)
Meta Description: (no set)


Tag: