• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

PAS 'Cerai' Bersatu Provokasi Lawan Tutup Gelombang PN

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa parti itu merancang untuk keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana beberapa isu mahkamah.

Beliau berkata, desas desus tersebut adalah palsu semata-mata merupakan satu provokasi dan disebarkan oleh pihak yang kurang senang melihat kebangkitan gelombang Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 yang lalu.

"Yang diviralkan itu adalah berita palsu sahaja. Memang tidak ada (meninggalkan Bersatu), saya tidak tahu siapa yang pergi goncang pokok (hingga timbul khabar angin tersebut).

"Sesetengah orang kata kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang, tetapi ini memang tiada angin, cuma ada orang goyang pokok..... Wallahualam siapa lah yang goyang pokok ni," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat negeri Terengganu di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata hubungan Pas dan Bersatu masih berjalan seperti biasa.

"Malam tadi baru sahaja saya  bermesyuarat bersama seluruh kepimpinan PN termasuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PAS.

"PAS masih setia dengan Bersatu....tak ada apa-apa yang berlaku (boleh menjejaskan hubungan politik dua parti)," ujarnya lagi.

Jelasnya, perjumpaan semalam menjurus kepada beberapa perkara kearah Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Insya-Allah dalam masa terdekat, kita akan duduk untuk bincang mengenai rundingan kerusi pula," katanya.

 

 

 


Tag: