• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Umum Calon PRK Kemaman 16 November

KUALA TERENGGANU, 8 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dijangka bakal diumumkan pada 16 November depan.

Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu akan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, majlis pengumuman calon tersebut kemungkinan diadakan di Chukai, Kemaman.

“Saya difahamkan, cadangan tarikh pengumuman calon ialah pada 16 November depan.

“Apapun kita tunggu pengumuman rasmi dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan atau kepimpinan PAS negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Dewan Santapan Diraja, Istana Syarqiyyah semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, PN masih belum muktamadkan siapakah calon yang sesuai bertanding pada 2 Disember depan.

Apabila ditanya sama ada adakah beliau calon yang bakal bertanding di PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat kepimpinan tertinggi parti.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.

 


Tag: