• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

PAS Yakin Kekal di Kemaman, Majoriti Bertambah

KEMAMAN, 18 November- Pentas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman kini bermula membuka tirai apabila proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, di sini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan PAS.

PAS yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman diwakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Sebaik proses pencalonan selesai, calon mempunyai 14 hari tempoh berkempen bagi meraih undi di kawasan Parlimen berkenaan yang mempunyai empat Dewan Undangan Negeri iaitu Kemasik, Kijal, Air Putih dan Cukai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata beliau mewakili rakyat Kemaman akan bekerja keras bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada PAS.

"Kali ini saya lebih bersemangat dan lebih meyakinkan (untuk kekalkan kemenangan)... insya-Allah ia akan diterjemahkan pada kertas undi pada 2 Disember nanti.

"Saya yakin dan percaya Dr Sam akan menang dengan bergaya dan capai sasaran 30 ribu majoriti iaitu lebih besar dari PRU15, ketika penyandangnya, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi pada ketika itu.

"Ia ditambah dengan majoriti yang PAS perolehi ketika PRN baru-baru yang mana keempat-empat DUN juga menang dengan bergaya," ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran wujud unsur sogokan dilakukan parti itu sewaktu tempoh berkempen.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.