lightning-solid
Berita :
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
Pasukan Menyelamat Khas Ditubuh di Pulau Perhentian, Pulau Lang Tengah
Hafiz Rosli
02 Sep 25
210

BESUT, 2 September – Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas bagi memastikan tahap keselamatan pelancong di Pulau Perhentian dan Pulau Lang Tengah sentiasa terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong di kawasan berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, pasukan khas ini akan beroperasi setiap tahun bermula Mac hingga Oktober, iaitu musim puncak kehadiran pelancong di kedua-dua pulau peranginan tersebut.

“Pasukan SAR ini akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui OCPD Besut dengan Balai Polis Perhentian dijadikan pusat panggilan (call centre).

“Operasinya hanya tertumpu di kawasan pulau sepanjang musim pelancong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali berkata, pasukan itu turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat sedia ada, antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Turut sama, kerjasama daripada Pejabat Daerah Besut, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat.

“Antara langkah utama yang dipersetujui termasuk memperketatkan aspek keselamatan pelancong, memastikan semua agensi sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim pelancong serta penyediaan kemudahan logistik seperti bot oleh Jabatan Perikanan agi menghadapi situasi kecemasan.

“Kerajaan Negeri yakin penubuhan pasukan khas ini bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pelancong untuk bercuti di Terengganu, malah memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang berada di pulau-pulau peranginan negeri ini,” ujarnya.

 

 


Tag :

Artikel Berkaitan