lightning-solid
Berita :
‘Pasukan Sorak’ Fitnah Terdesak Untuk Tutup Malu Sendiri - SU Politik Dr. Sam
‘Pasukan Sorak’ Fitnah Terdesak Untuk Tutup Malu Sendiri - SU Politik Dr. Sam
Husaif Mamat
24 Aug 25
316

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu menafikan tuduhan kononnya wujud 'pasukan sorak MB Terengganu' dalam acara RXZ Members 7.0, menyifatkannya sebagai fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Mohd Soud Said menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Samsul Iskandar Mohd Akin serta salah seorang penganjur program itu hanyalah usaha terdesak untuk mempolitikkan acara santai peminat permotoran tersebut.

“Individu-individu yang berada di barisan hadapan pentas adalah rakyat biasa, peminat permotoran yang hadir dengan semangat komuniti, bukannya pasukan di bawah arahan sesiapa.

"Sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang menolak usaha mempolitikkan acara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, kehadiran ribuan peminat RXZ di Terengganu membuktikan acara itu diraikan sepenuhnya oleh masyarakat setempat yang sanggup menyediakan penginapan percuma, minyak percuma dan makanan percuma demi meraikan tetamu dari luar negeri.

“Tohmahan yang dilemparkan hanya bertujuan mengalih perhatian dan menutup malu sendiri setelah ditolak peminat permotoran dan rakyat,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa menyokong penganjuran acara bermanfaat untuk rakyat dengan menyediakan fasiliti, promosi dan bantuan keselamatan demi kelancaran program.

“Fitnah dan manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan perlu dihentikan,” tegas beliau.

Terdahulu, Samsul dalam satu kenyataan dangkal mendakwa bahawa pihak yang bersorak mengejek beliau dan penganjur RXZ Member semalam adalah pasukan sorak MB Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan