• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pusat Aktiviti Warga Emas Bakal Dibuka di YPKT

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Kerajaan negeri bakal menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ke-8 pada tahun ini. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor berkata pusat itu akan dibuka di Ruang Cafeteria Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKT).

Katanya, sehingga kini Kemaman, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Kuala Nerus sudah mempunyai PAWE.

"PAWE yang ke-8 adalah di Parlimen Kuala Terengganu yang kini dalam proses penubuhan pada tahun ini yang terletak di ruang cafeteria YPKT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2023 di Kompleks Ibu Tunggal Chendering di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, Timbalan Pengarah Pengurusan YPKT Mohd Ashri  Mohd Zain, Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil Ketua Jabatan serta Pengerusi-Pengerusi PAWE seluruh negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Zuraida turut mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu dan YPKT atas kerjasama dalam menjayakan penubuhan PAWE Daerah Kuala Terengganu pada tahun ini.

"Tahniah juga kepada Persatuan Warga Emas Terengganu dalam kesediaan mengoperasi PAWE Kuala Terengganu," ujarnya.

Katanya, kolaborasi ini sejajar dengan saranan kerajaan dalam memperluaskan kerjasama strategik di antara agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan Kerjaan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada warga emas.

"Adalah diharapkan dengan pertambahan penubuhan PAWE ini, maka warga emas dapat terus menjalankan aktiviti dalam komuniti, lantas melahirkan warga emas yang sihat, aktif, produktif dan positif, seterusnya mengurangkan kemasukan dan kebergantungan warga emas  kepada institusi kebajikan," jelasnya.

Katanya, sempena Majlis Sambutan Hari Warga Emas itu kerajaan negeri juga berbesar hati untuk menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Warga Emas Aktif Tertua dan Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cemerlang.

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Pelajaran Besut, Haji Yusoff Kassim menerima Anugerah Tokoh Warga Tua Aktif manakala PAWE Setiu menerima anugerah PAWE Terbaik bagi seluruh negeri Terengganu tahun ini.

Penerima anugerah berkenaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, sebuah piala dan sijil. 


Tag: