lightning-solid
Berita :
PBT Perketat Operasi, Pemilik Ternakan Berkeliaran Berdepan Tindakan
PBT Perketat Operasi, Pemilik Ternakan Berkeliaran Berdepan Tindakan
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Kerajaan Terengganu memperketat penguatkuasaan terhadap haiwan ternakan berkeliaran dengan menumpukan operasi bersepadu di kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, operasi penguatkuasaan dan tangkapan dilaksanakan secara berkala oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), selain tindakan segera diambil terhadap setiap aduan orang ramai.

Menurutnya, operasi itu turut melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta agensi berkaitan.

“Operasi dilaksanakan secara bersepadu, khususnya di lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15, semalam.

Wan Sukairi berkata, beberapa PBT turut menubuhkan pasukan penguatkuasaan khas bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi, mempercepatkan respons terhadap aduan dan memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Dalam masa sama, kerajaan negeri memperhebat kempen kesedaran menerusi media sosial rasmi PBT, pemasangan poster dan papan tanda di lokasi strategik serta kerjasama dengan institusi agama dan pemimpin masyarakat.

Katanya, usaha itu bertujuan meningkatkan kesedaran pemilik ternakan supaya tidak mengabaikan tanggungjawab mengawal haiwan peliharaan masing-masing.

“PBT akan terus mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang gagal mengawal ternakan mereka melalui pengeluaran kompaun, denda atau tuntutan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tindakan ini penting bagi meningkatkan pematuhan pemilik ternakan, mengurangkan kejadian haiwan berkeliaran serta melindungi keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan