• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Pejabat SUK Terengganu Lancar Polisi Keselamatan Siber

KUALA TERENGGANU, 4 April- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) Terengganu hari ini melancarkan dokumen Polisi Keselamatan Siber (PKS) bagi menjamin kesinambungan urusan PSUK Terengganu dengan meminimumkan kesan insiden keselamatan siber.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, polisi yang dibangunkan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM) dengan kerjasama Pasukan Perunding Keselamatan ICT MAMPU itu bagi menggantikan dokumen Dasar Keselamatan ICT (DKICT) yang telah dibangunkan pada tahun 2013 dengan merujuk kepada standard ISO/IEC 27001:2013 Information Security Management System (ISMS). 

“Diharap polisi ini yang menerangkan tanggungjawab dan peraturan-peraturan berkait keselamatan siber difahami dan dipatuhi oleh warga PSUK Terengganu dan pihak ketiga yang mempunyai urusan dengan perkhidmatan ICT PSUK Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Warga Kerja Wisma Darul Iman sekali gus menyempurnakan pelancaran polisi berkenaan bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Rozali Salleh; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Zulkifli Ali; Pengarah Pembangunan Negeri Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Anuar Awang.

Sementara itu, beliau memaklumkan, pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) menyediakan platform bagi agensi membuat perkongsian data secara dalam talian yang lebih dikenali sebagai data terbuka. 

“Platform ini bertujuan menggalakkan perkongsian data, meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah, cepat dan telus serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

“Data terbuka ini adalah data yang boleh digunakan secara bebas, boleh dikongsi dan digunakan semula oleh rakyat dan agensi sektor awam atau swasta. Justeru, digalakkan setiap agensi dapat berkongsi data agar boleh dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan pengguna,” ujarnya.

Katanya, bagi menyambut saranan itu, kerajaan negeri telah menyumbang sebanyak 124 data di platform tersebut melalui sumbangan data daripada agensi di bawah kerajaan Negeri Terengganu. 

“Sehingga kini, saya difahamkan terdapat lima agensi telah bergiat aktif menyumbang data iaitu Pejabat SUK Terengganu, MAIDAM, Majlis Daerah Hulu Terengganu,Yayasan Pembangunan Keluarga dan Majlis Daerah Setiu,” katanya.