• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pekebun Rugi Angkara Gajah

DUNGUN, 9 Ogos - Pekebun di Taman Abadi Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) mengalami kerugian angkara gajah yang merosakkan tanaman mereka.

Kebanyakkan mereka mengusahakan tanaman seperti lada hitam, nanas, mata kucing, petai, serta pelbagai lagi dan dibelenggu masalah ini sejak sekian lama.

Pekebun, Raimah Hashim, 47, berkata kerana kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan pertanian, dia  bersama suami Mohamad Awang Besar, 56 tetap meneruskan usaha itu walaupun kes terbaru iaitu pada Aidiladha lalu tanaman turut dimusnahkan haiwan berkenaaan.

"Yang mana pada tahun sebelum ini, tanaman pisang yang saya usahakan juga turut dimusnahkan gajah ini. Ada buat pagar elektrik dengan menggunakan belanja sendiri namun tetap dimasuki haiwan besar ini.

"Diantara tanaman saya yang dirosakkan pada kebun seluas lima ekar ini ialah 100 pokok lada hitam, manakala nanas pula 20,000 pokok. Memang sangat sedihlah diatas penat lelah kita selama ini, boleh dikatakan semuanya kita usahakan secara berdikari tanpa ada mana-mana bantuan, kecuali tanaman lada hitam mendapat bantuan daripada Lembaga Lada Hitam Malaysia yang memberikan anak pokok dan sering melakukan tinjauan," ujarnya.

Najis gajah

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, disini, baru-baru ini.

Raimah berterima kasih diatas perhatian yang diberikan Ghazali selepas buntu tidak tahu ke mana  hendak diadukan perkara berkenaan.

Sementara itu, Nor Azura Halib berkata, ketika melihat kebunnya musnah tidak tahu samada hendak menangis ataupun menjerit.

"Sedih setelah melihat 200 anak pokok lada hitam musnah begitu sahaja, ingat nak tunggu besar sedikit dan hendak tanam lebih banyak lagi namun dimusnahkan Gajah 

"Ketika awal kejadian, memang dapat dilihatlah kesan dimasuki binatang besar ini, dengan mana jalan-jalan dipenuhi dengan buah nanas, dengan tompokan najis gajah, dan kesan-kesan yang dilalui," ujarnya.

tapak gajah

Sementara itu, Ghazali melahirkan perasaan simpati diatas nasib yang berlaku ke atas pekebun-pekebun berkenaan.

"Memang dapat dilihat kesan yang dialami, dimana masih ada lagi kelihatan tompokan najis gajah yang telah pun kering menunjukkan berkemungkinan telah seminggu dimasuki gajah, memang banyaklah kerosakan yang dialami.

"Kita telah beri penerangan kepada mereka mengenai agensi-agensi mahupun jabatan yang boleh mereka dapatkan bantuan, termasuklah Tabung Darul Iman (TDI) selain daripada Jabatan Pertanian sendiri, paling utama laporkan terlebih dahulu di balai polis, supaya laporan dapat dikeluarkan beserta nilai kerugian bagi memudahkan proses mendapatkan bantuan," ujarnya,


Tag: