• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pekeliling Benar Guru Kemas Berpolitik Keluar Dalam Masa Terdekat

KUALA TERENGGANU, 13 Februari - "Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam peringkat akhir untuk mengeluarkan pekeliling berhubung kebenaran guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berpolitik," jelas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali.

Menurut beliau, draf pekeliling berkenaan kini sudah disiapkan dan dalam proses penelitian.

"Pekeliling atau garis panduan kebenaran golongan pendidik seperti guru dan kakitangan Kemas bergiat aktif dalam politik akan dikeluarkan dalam masa terdekat," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sign Off Pembangunan Pelan Strategik Pendigitalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Agensi Dibawahnya Bagi Tempoh 2021-2025 di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seperti yang dilaporkan media, Perdana Menteri, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu mengumumkan guru dan petugas Kemas dibenarkan bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain, berkuat kuasa serta-merta.

Serentak dengan itu pekeliling terdahulu yang memberi amaran dan menyekat golongan pendidik daripada berpolitik sudah tidak terpakai.


Tag: