• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Pelabur Dari Negara China Kunjungi Terengganu


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 20 Januari - Pelabur antarabangsa, China Southern Association For International Friendly Contact mengadakan kunjungan ke Terengganu bagi mendapatkan gambaran tentang peluang dan potensi industri pertanian di negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur luar untuk mengisi kelompongan yang ada dalam sektor pengeluaran makanan.

"Saya mengambil kesempatan untuk membentangkan situasi semasa sektor pertanian, penternakan dan akuakultur yang sebenarnya masih terlalu banyak lompang dan peluang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kunjungan tersebut di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Jabi, di sini baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan syarikat dari China yang bertandang ke Terengganu adalah syarikat bertaraf gergasi,  kebiasaannya tidak mempunyai masalah modal dan pasaran.


"Soal modal dan pasaran bukan suatu masalah bagi mereka. Dan saya difahamkan di negara China ada lebih 1.3 bilion mulut (rakyat) yang perlu disuap makanan," ujarnya.

Menurut beliau, pertemuan tersebut dikira mencapai matlamat awal jika delegasi mendapat suatu gambaran umum bagaimana kehadiran mereka dialu-alukan.

"Dan semua info ini dijadikan asas untuk mereka balik berbincang dengan lebih lanjut lagi. Seterusnya kita akan susuli dengan beberapa lagi siri perbincangan teknikal," jelasnya.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi juga berkata, pelaksanaan sesuatu projek yang mampu memberikan impak besar kepada ekonomi rakyat dan negeri merupakan matlamat asas untuk diusahakan.

"Cita-cita yang saya nampak jalannya makin terbuka. Doakan yang terbaik untuk rakyat dan negeri kita," ujarnya lagi.


Tag: