• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelaburan RM320 Juta Wujudkan 2,000 Peluang Pekerjaan

KUALA TERENGGANU, 29 September - Kemasukan pelabur antarabangsa, Syarikat Mc cormick untuk melabur melalui perusahaan tanaman lada hitam secara komersial bernilai RM 320 juta disasarkan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek mega berkenaan akan dibangunkan di Rhu Tapai.

Katanya, Kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 600 hektar untuk dijadikan ladang dan didirikan sebuah kilang pemprosesan tanaman berkenaan. 

"Jadi apabila projek ini berjaya direalisasikan kita yakin kawasan Rhu Tapai ini  akan menjadi 'Pekan Lada Hitam' dan ini adalah percubaan pertama di atas tanah bris di Malaysia.

"Setelah melalui tempoh percubaan melalui kaedah 'Proof Of Concept (POC)' dibuktikan ia boleh ditanam di atas tanah jenis ini, kerajaan telah membantu untuk memberikan kerjasama dengan sebaiknya untuk menyelesaikan urusan tanah ini.

"Projek ini juga akan melibatkan komuniti setempat, bukan setakat kita hendak meraikan pelabur, dalam masa yang sama 'teknologi transfer' yang dibawa oleh mereka akan turut dipelajari oleh rakyat agar sosioekonomi kepada masyarakat setempat boleh dioptimumkan dengan sebaiknya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kabin Tanaman Pintar dan Penyerahan Peralatan Program Komuniti 2.0, di Pusat Informasi Pertanian Bandar, Batu Buruk, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan perancangan pada Oktober ini Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat berkenaan dengan kerajaan negeri akan diadakan, namun disebabkan situasi pandemik ia kemungkinan mengalami sedikit kelewatan.

Katanya, Mc Cormick merupakan sebuah syarikat antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat dan beroperasi di lebih 20 buah negara.

 


Tag: