lightning-solid
Berita :
Pelaburan Suku Pertama Terengganu Melonjak 178 Peratus
Pelaburan Suku Pertama Terengganu Melonjak 178 Peratus
Mastura Jamal Din
14 jam yang lepas
195

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Nilai pelaburan diluluskan di Terengganu melonjak 178 peratus kepada RM399.8 juta pada suku pertama 2026, berbanding RM143.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan sebanyak RM256 juta itu menyaksikan nilai pelaburan pada tiga bulan pertama tahun ini hampir 2.8 kali ganda berbanding suku pertama 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar dengan pelaburan berjumlah RM336.4 juta atau 84.1 peratus.

Kata beliau, sektor perkilangan pula merekodkan pelaburan sebanyak RM63.4 juta, bersamaan 15.9 peratus daripada keseluruhan nilai yang diluluskan.

"Pelaburan domestik terus menjadi pemacu utama dengan nilai RM348.4 juta atau 87.1 peratus, manakala pelaburan asing menyumbang RM51.5 juta atau 12.9 peratus.

“Sebanyak tujuh projek yang diluluskan pada suku pertama tahun ini dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 254 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Terengganu.

“Di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), empat projek menerima kelulusan penuh melibatkan pelaburan sebanyak RM91.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed, pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini berkata kerajaan negeri turut mengenal pasti sembilan projek pelaburan berpotensi yang kini dalam pertimbangan, membabitkan sektor utiliti, tenaga boleh diperbaharui, logistik dan hospitaliti.

Katanya, kemasukan pelaburan itu dijangka memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan produktiviti dan pengukuhan rantaian bekalan industri.

Menurutnya, prestasi tersebut turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Terengganu serta dasar pembangunan dan kemudahan pelaburan yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan mengenai usaha menjadikan sektor mineral sebagai penyumbang utama hasil bukan cukai negeri, Mohd Nurkhuzaini berkata beberapa strategi sedang dilaksanakan bagi memaksimumkan nilai sumber berkenaan.

“Antaranya ialah memperkukuh tadbir urus melalui pelaksanaan Dasar Mineral Negeri Terengganu 2018 (Pindaan) 2025 serta menggalakkan pembangunan industri hiliran supaya mineral tidak hanya dikeluarkan dalam bentuk bahan mentah,” katanya. 

Beliau berkata Menteri Besar Incorporated (MBI) turut mengenal pasti kawasan di Perasing, Kemaman, sebagai lokasi pemprosesan dan pencucian bijih bauksit bagi mewujudkan ekosistem industri mineral yang lebih lengkap.

“Apabila mineral diproses menjadi produk separuh siap atau produk siap di dalam negeri, nilai pasarannya akan meningkat.

“Ini membolehkan kerajaan negeri memperoleh pulangan lebih tinggi melalui royalti dan cukai tidak langsung,” katanya.

Kerajaan negeri juga menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan seperti MBI dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menjalinkan usaha sama dengan pelabur.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan negeri menerima pulangan dalam bentuk dividen, selain bergantung kepada kutipan royalti semata-mata.

Mohd Nurkhuzaini berkata kadar fi dan royalti mineral turut akan disemak, dengan purata kenaikan sebanyak 100 peratus berbanding kadar sedia ada.

Jelas beliau, kadar baharu itu dijadualkan berkuat kuasa pada suku ketiga 2026.

Pada masa sama ujarnya, kerajaan negeri akan mempertingkat penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan hasil serta memperkemas kutipan royalti, premium, fi dan caj berkaitan aktiviti mineral.

Menurutnya, sektor mineral turut diberi keutamaan di bawah inisiatif New Income Terengganu (NIT) sebagai sumber hasil strategik bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap hasil petroleum.

“Dengan perancangan sistematik, tadbir urus yang baik dan pembangunan industri mineral secara mampan, sektor ini berpotensi muncul sebagai antara penyumbang utama hasil bukan cukai negeri pada masa hadapan,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan