Berita :
Pemangku Raja Iktiraf Pelaburan Terengganu Lonjak Lebih RM6 Bilion
Pemangku Raja Iktiraf Pelaburan Terengganu Lonjak Lebih RM6 Bilion
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
185

KUALA TERENGGANU, 20 April – Terengganu merekodkan nilai pelaburan komited sebanyak RM6 bilion sehingga Disember 2025, dengan sektor pembuatan muncul sebagai antara pemacu utama pertumbuhan pelaburan negeri itu.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama pelabur, khususnya dalam sektor tenaga dan pembuatan.

“Pada tahun 2024, jumlah pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM3.178 bilion.

“Sehingga Disember 2025, nilai pelaburan komited telah mencapai RM6 bilion, terutamanya sektor pembuatan.

“Secara kumulatif sejak tahun 2022, Negeri Terengganu telah berjaya menarik pelaburan melebihi RM9.8 bilion melalui pelbagai sektor industri,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam titah sama, Tengku Muhammad Ismail menegaskan keperluan membangunkan ekosistem mesra pelabur yang komprehensif bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing ke negeri itu.

Titah baginda, elemen ‘One-Stop-Center’ menggunakan sistem digital atau kecerdasan buatan (AI) mampu membantu mengurangkan birokrasi, terutama melibatkan kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Selain itu, insentif bukan fiskal oleh kerajaan negeri juga turut perlu dikaji di samping kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tempatan sebagai penyedia sumber tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri,” titah Tengku Muhammad Ismail.

Menyentuh aspek sokongan infrastruktur, baginda bertitah pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Terengganu secara keseluruhan telah mencapai kemajuan kerja sebanyak 97 peratus.

Menurut baginda, projek itu dijangka mengubah landskap logistik negeri menjadi hub logistik Pantai Timur, manakala kawasan sekitar stesen pula bakal dibangunkan menerusi pembangunan berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu.

“Kerajaan negeri perlu mengambil peluang kelebihan infrastruktur ini untuk meningkatkan daya saing negeri dalam konteks ekonomi domestik,” titah baginda.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan