• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelajar SRIDI AMBS Ceria Buka Tirai Persekolahan



Oleh : Adli Mohamad


DUNGUN, 2 Januari -Seramai 24 pelajar Sekolah Rendah Islam (SRIDI) Darul Iman Al-Muktafil Billal Shah (AMBS) ceria melangkah ke sekolah baharu yang membuka tirai sesi persekolahan semalam.

Pelbagai aksi dan telatah mereka diselami Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, yang turut meninjau keadaan di pusat pendidikan itu.

Ghazali berkata, beliau mahu berkongsi keterujaan dan kegembiraan warga sekolah berkenaan sambil memberi kata-kata semangat kepada pelajar serta tenaga pengajar SRIDI.



"Walaupun bilangan tak ramai sebagaimana SRIDI di bandar, namun saya cukup optimis, pelajar yang berdaftar adalah pelajar yang terbaik. Kebanyakan mereka merupakan pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan juga pelajar dari Tadika Yayasan Islam.

"Di antara mereka ramai yang telah tahu membaca nama dan ketika saya pergi kepada seorang dari pelajar tersebut ketika saya tunjukkan nama saya di 'nametag', dia tahu memyebutnya,"katanya.

Ghazali berkata, ketika sesi lawatan itu, sebahagian besar pelajar tidak ditemani ibu bapa, sebagaimana pelajar di sekolah rendah yang lain, sekali gus menunjukkan mereka boleh berdikari tanpa ditemani penjaga masing-masing.


"Dimaklumkan hanya ada seorang sahaja yang menangis, itu pun sebentar sahaja, guru-guru SRIDI pandai memujuk, dan mewujudkan suasana yang penuh ceria.

"Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru SRIDI kerana berjaya berperanan dengan baik pada hari pertama. Semoga keikhlasan itu berkekalan serta selamat menjadi pendidik yang baik,"katanya.

Beliau juga memuji langkah ibu bapa yang memilih serta memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk membentuk serta memberi ilmu pelajaran kepada anak mereka mengikut acuan yang betul dan sistematik sebagai pelaburan yang berbaloi untuk dunia dan akhirat.

Tag: