• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pelajar TATiUC Hasilkan About Skin Mini Hand Care Kit

Para peserta persidangan merakamkan gambar kenangan bersama Satiful Bahri.
Oleh: Amiirullah Mansor

KEMAMAN, 7 Julai - Kolej Universiti TATI (TATIUC) berjaya mengetengahkan produk kosmetik ‘About Skin’ Mini Hand Care Kit yang dihasilkan pelajar-pelajarnya.

Rektor TATIUC, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, produk berkenaan dicipta hasil penyelidikan yang diperolehi sepanjang Persidangan Antarabangsa Internationall Conference On Engineering Technology (ICET) serta persidangan-persidangan lain yang disertai kolej berkenaan.

“Apabila satu-satu  ‘conference’ (persidangan) sebegini diadakan, kita mampu wujudkan sesuatu hasil akhir berdasarkan research (penyelidikan) yang dibentangkan.

“Melalui produk ini, kita dapat buktikan TATIUC juga mampu melahirkan para pelajar yang berdaya saing sekali gus bakal mewujudkan usahawan-usahawan baharu,” katanya dalam sidang media Persidangan Antarabangsa 4th Internationall Conference On Engineering Technology (ICET) 2019, di Lobi Pejabat Pusat Latihan Darul Iman (DITC), semalam.

Dr. Anuar menyampaikan kit About Skin kepada Satiful.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan TATIUC, Dr. Rosliza Ramli.

Jelasnya, sebenarnya warga Terengganu mempunyai pemikiran sangat kreatif yang boleh dikembangkan sehingga mampu mengeluarkan produk – produk berkualiti dengan identiti tersendiri.

“Sekiranya bakat-bakat ini disalurkan ke arah yang betul, perkara ini secara tidak langsung akan dapat menaikan ekonomi negeri Terengganu serta memartabatkan namanya ke seluruh negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan About Skin terdiri daripada beberapa jenis barangan iaitu Hand Wash (menyegarkan dan menghidratkan), Hand Lotion (melembabkan dan menghidratkan) serta Hand Sanitizer (anti bakteria dan kesegaran).

 “Insya-Allah, dengan kejayaan penyelidikan yang dibuat ini kita cuba akan berkolaborasi dengan produk – produk sedia ada di pasaran yang mahu bekerjasama,” katanya.

Seramai 130 peserta dari seluruh dunia membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikan dalam  persidangan yang berlangsung selama dua hari itu.










Tag: