• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

'Pelajari, Hayati dan Contohi Rasulullah'

KUALA TERENGGANU, 7 November- Dakwah bukan semata-mata mengajak orang lain ke arah kebaikan, namun ia juga merupakan ajakan kepada diri para daie itu sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah mengingatkan semua individu agar mempelajari, menghayati dan mencontohi segala pengajaran yang ditinggalkan Rasulullah SAW.

"Kita telah mendengar penjelasan bagaimana besarnya peranan seorang 'Home Manager' dan keluarganya serta keperluan dakwah daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK). Sudah tentu kerajaan negeri menyambut baik segala usaha yang murni bagi membentuk masyarakat negeri ini mencapai redha Allah SWT.

"Dakwah yang pertama adalah kepada diri kita, rumah kita, anak-anak kita. Jangan kerana kita sibuk kita mengabaikan rumah tangga kita," katanya ketika berucap sewaktu merasmikan Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Permodalan YPK, Faizal Harun dan Penolong Pengarah YADIM Terengganu,Nasrul Hadi Saidin.

Jelasnya, tugas sebagai 'home manager' yang diuruskan YPK merupakan peluang untuk mendidik ahli keluarga samada majikan atau keluarga sendiri dengan mempamerkan akhlak yang baik.

"Dengan ini, akhirnya kita juga akan jadi pendakwah," katanya.

Dalam pada itu, Nasrul Hadi turut memaklumkan, YADIM berhasrat melahirkan sejumlah program berkesan dengan pelbagai strategi antaranya program 'touch n go' untuk mendapatkan rakan kolaborasi seperti gotong-royong bersama masyarakat dan sebagainya.

"Bersempena dengan program bulan dakwah, ini antara yang kita laksanakan. Hasrat kami biarlah dapat masuk semua lapangan dan peringkat.

"Kami amat mengharapkan sokongan dari kerajaan dan tuan-tuan, sertailah sukarelawan YADIM supaya dapat menjadi laluan dakwah kami," jelasnya.

Program berkenaan dianjurkan kedua pihak terbabit dengan penglibatan sekitar 100 peserta terdiri di kalangan 'home manager' di negeri Terengganu. 

 

 

 

 


Tag: