KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen berterusan dalam memperkasa pelaksanaan hukum-hukum Islam termasuk hudud secara berperingkat melalui pindaan undang-undang, pendidikan masyarakat dan pengukuhan sistem kehakiman syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha memaksimumkan bidang kuasa negeri selaras dengan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Katanya, pindaan terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 melalui pindaan tahun 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari 2024 merupakan satu langkah penting, dengan 60 peratus hukuman dipinda kepada hukuman maksimum bagi memberi kefahaman kepada masyarakat sebelum pelaksanaan hudud sepenuhnya.
“Pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara pada tahun 2018 bagi kesalahan 'musahaqah' dan bagi kesalahan khalwat berulang pada tahun 2024 juga merupakan suatu langkah dalam memperkasa pelaksanaan hukum-hukum islam termasuk hudud secara berperingkat, dan sebagai persiapan kefahaman masyarakat.
"Dalam pelaksanaan hukuman tersebut juga agensi pelaksana mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, pada Persidangan DUN Terengganu, semalam.
Selain itu, katanya lagi, kerajaan negeri turut menyemak dan menambah baik Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan (2020) bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mematuhi prinsip syariah.
Katanya, daripada aspek kefahaman masyarakat, pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan termasuk Kempen Pencegahan Penguatkuasaan Syariah di pusat beli-belah serta Kempen ‘Indahnya Hidup Bersyariat’, bagi mendidik rakyat memahami undang-undang Islam dengan lebih mendalam.
“Kerajaan Negeri Terengganu juga dalam usaha menaik taraf Mahkamah Syariah, menambah lapisan mahkamah, latihan pegawai dan sumber manusia untuk menyokong penguatkuasaan syariah yang lebih luas dan menyeluruh.
"Ini penting kerana selari dengan komitmen Kerajaan dalam memaflabatkan syiar Islam," ujarnya.
Langkah-langkah ini, jelas beliau, menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memartabatkan syiar Islam dan memastikan pelaksanaan hukum Islam di Terengganu terus diperkukuh dengan pendekatan berhemah serta berperingkat.