• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pelepasan 440,200 Benih Ikan Manfaatkan 273 Nelayan Darat

DUNGUN, 23 September - Pelepasan 440,200 benih ikan dan udang secara serentak seluruh negeri ke perairan umum Terengganu bakal memberi manfaat kepada 273 nelayan darat di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha yang membabitkan kos sebanyak RM141,800 dilakukan mampu menjamin kelestarian sumber perikanan darat.

Katanya, program itu menjadi penutup pelepasan anak ikan daripada pelbagai spesies ikan darat pada tahun ini.

"Ini menjadikan sebanyak 1.35 juta benih ikan telah dilepaskan dengan nilai RM340,000 sepanjang tahun 2021. Sumber ini kita sama-sama jaga dan pelihara agar ia membiak dan menjadi rezeki para nelayan kita.

"Elakkan daripada menggunakan kaedah-kaedah tangkapan yang bertentangan yang boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan seperti renjatan elektrik, bom, tuba dan sebagainya yang akan memusnahkan sumber ekologi dan sumber perikanan yang akan merugikan kesemua pihak," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Pelepasan Benih Ikan Serentak di Seluruh Negeri, di Sungai (Sg) Dungun,di Kampung Jerangau pada hari ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelidik (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Mengulas lanjut Dr Azman berkata antara lokasi yang terlibat selain kawasan berkenaan ialah di Sg Nerus, Terengganu, Marang, Berang, Leban di Tasik Kenyir, Kertih, Empangan jajar manakala di Gerung Kampung Apal di Jabi akan dilakukan program berkenaan pada 3 Oktober ini.

"Antara spesies ikan yang dilepaskan pada hari ini ialah Udang Galah, Baung, Lampam Sungai, Kelah, Sebarau, Siakap dan Haruan.

"Program yang kita adakan ini adalah diantara program memperkayakan sumber perikanan bersempena Tahun Pertanian Terengganu 2021," katanya.

Untuk Rekod jumlah nelayan darat yang berdaftar di negeri ini mengikut daerah ialah di Besut (39), Setiu (24), Kuala Nerus (8), Kuala Terengganu (9), Marang (10), Hulu Terengganu (34), Dungun (79) dan Kemaman (70).

Sementara itu, Ghazali mengakui bahawa pihaknya menerima rungutan daripada nelayan darat setempat bahawa hasil sungai kini berkurangan tidak sebagaimana dahulu.

"Sungai Jerangau ini cukup terkenal sebagai lubuk Udang Galah dan Ikan Baung, dengan usaha dilakukan kerajaan ini kita mengharapkan agar ia menjadi pemangkin kepada nelayan-nelayan yang terlibat secara langsung ini meraih pendapatan yang bertambah.

"Saya bagi pihak masyarakat di sini, mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian EXCO memilih tempat ini bagi merasmikan program melepaskan benih ikan ini.

"Kita minta agar nelayan mengikuti saranan kerajaan agar jangan buat tangkapan dengan cara yang salah sebagaimana dinyatakan dalam usaha memelihara sumber ikan darat ini," ujarnya.

 


Tag: