• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Pelestarian Pulau Jamin Keseimbangan Kemajuan Pelancongan

BESUT, 10 September - Kerajaan negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif untuk mendidik masyarakat dengan nilai kebersihan dan kemajuan melalui program Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kemajuan sektor pelancongan hendaklah berlandaskan visi negeri iaitu maju, berkat dan sejahtera.

“Kemajuan dalam sektor ini perlu mengikut keadaan setempat, jika kita gelojoh ia akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar, pencemaran dan lain-lain.

“Seperti contoh, kita perlu elak terlalu mengejar keuntungan dan mengaplikasi idea harga berpatutan mengikut keadaan semasa serta mengaplikasi akhlak baik dalam kelakuan dan layanan, oleh itu, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif memupuk nilai kebersihan kepada komuniti supaya akhlak baik dapat dibudayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog Bersama Komuniti di Pulau Perhentian semalam sempena program tersebut di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.

Majlis berkenaan urut disertakan dengan taklimat kesihatan yang diberikan oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Besut berkenaan denggi dan COVID-19.

Taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan komuniti supaya menjaga kebersihan demi kelestarian pulau.

Majlis Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian turut disertakan dengan program gotong-royong membersihkan kawasan pulau sejajar objektif pemupukan nilai kebersihan kepada komuniti setempat.


Tag: