• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pelihara Sumber, Peraturan Perikanan Darat Dipinda

HULU TERENGGANU, 27 Oktober – Kerajaan negeri sedang meminda Peraturan Perikanan Darat Terengganu 1988 (Pindaan 1993) supaya sumber dan biodiversiti dapat dipelihara dengan lebih bersepadu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penyusunan semula punca kuasa itu penting untuk mengawal dan menguruskan sumber perikanan darat.

"Akta yang sedia ada cuma sekadar melindungi perikanan marin di laut sahaja. Jadi kita perlu buat enakmen supaya ada punca kuasa untuk kita menguatkuasakan peraturan yang berkaitan dengan perikanan darat.

"Kaedah tangkapan menggunakan peralatan yang dilarang seperti tuba, pukat, bom dan sebagainya boleh merosakkan sumber dilarang sama sekali. Hanya memancing dibenarkan bagi mengekalkan kelestarian dan kelangsungan untuk satu tempoh yang panjang. 

"Kita ingin menjadikan Tasik Kenyir ini sebagai daya tarikan aktiviti rekreasi seperti memancing kerana ia tidak merosakkan sumber. Saya meletakkan sasaran dikuatkuasakan pada tahun 2021, insya-Allah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelepasan Sejuta Benih Ikan di Tasik Kenyir, hari ini.

Mengulas tentang majlis itu, Dr Azman memaklumkan, dalam siri keempat itu, sebanyak 400,000 benih udang galah, 20,000 ikan lampam, 35,000 ikan terbol dan 30,000 ikan baung dilepaskan dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM120,000.

"Jumlah keseluruhan benih ikan yang dilepaskan di seluruh negeri Terengganu bagi Program Pelepasan Sejuta Benih Ikan Ke Tasik Kenyir adalah sebanyak 940,260 ekor benih. Dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM270,000," jelasnya.

Tambahnya, kawasan tersebut juga telah digazetkan sebagai kawasan larangan tangkapan ikan. 

 

"Di samping kerajaan berusaha menggiatkan program pelepasan benih ikan, udang ke perairan untuk meningkatkan populasi dan biodiversiti, masyarakat turut berperanan menjaga sumber ini.

"Purata dalam 60 peratus anak benih yang dilepaskan boleh membesar menjadi dewasa. Tujuan kita nak meningkatkan populasi perikanan di perairan negeri Terengganu sama ada tasik atau sungai," katanya.