Pelita Raya Terengganu 2025 Dinaik Taraf ke Peringkat Nasional

SETIU, 16 Februari - Program Pelita Raya Terengganu bakal melakar sejarah baharu apabila dinaik taraf ke peringkat nasional pada tahun ini, dengan pembabitan negeri-negeri lain serta penyertaan antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mengumumkan perkembangan program tahunan itu dalam sidang media selepas perasmian sambutan ‘World Wetlands Day’ 2025 peringkat negeri di Jeti Gong Batu, Setiu, semalam.

Menurut beliau, Pelita Raya bagi tahun 2025 masih akan mengekalkan tradisi pemasangan pelita menggunakan minyak gas dan sumbu, tetapi juga akan menggabungkan elemen pelita elektronik bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

“Kita tetap kekalkan identiti pelita minyak gas, tetapi kita akan mengurangkan penggunaannya bagi mengelakkan pencemaran asap.

“Sebagai ganti, kita akan menambah pelita elektronik atau konsep pencahayaan lain yang mesra alam,” katanya.

Pada tahun ini, program tersebut akan dipindahkan ke lokasi yang lebih luas bagi menampung peningkatan penyertaan.

Berbanding anjuran terdahulu yang hanya melibatkan penyertaan dari daerah-daerah di Terengganu, program kali ini akan dibuka kepada negeri-negeri dalam kumpulan SG4, iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, dan Terengganu.

Walau bagaimanapun, Razali menjelaskan jika terdapat negeri-negeri lain yang berminat, mereka turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam pertandingan pemasangan pelita itu.

Lebih menarik, Pelita Raya 2025 juga akan menampilkan dimensi antarabangsa dengan penyertaan dari negara jiran seperti Thailand (kawasan Pattani), Singapura, Brunei, dan Indonesia.

Negara-negara ini dipilih kerana mereka turut mempunyai budaya menyambut Hari Raya, sekali gus dapat menyemarakkan lagi kemeriahan acara ini.

Datuk Razali turut menegaskan bahawa program ini akan terus diperbesarkan dari tahun ke tahun.

“Ini tahun keempat Pelita Raya diadakan. Dari peringkat kampung, kita kembangkan ke daerah, kemudian GLC, dan seterusnya peringkat negeri.

“Sekarang kita buka kepada negeri lain dan juga peringkat antarabangsa. Setiap tahun kita akan besarkan program ini,” ujarnya.

Pelita Raya 2024 sebelum ini telah berlangsung di Tasik Pahlawan, Taman Tamadun Islam, Terengganu, dan berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.

Acara tersebut menampilkan pemasangan lebih 150 pelita oleh setiap agensi yang bertanding dengan keutamaan penggunaan bahan kitar semula seperti tempurung, tin minuman, buluh, dan botol.

Seperti edisi sebelum ini, Pelita Raya 2025 akan diadakan dalam tempoh seminggu, bermula selepas minggu pertama Ramadan dan berakhir sebelum pertengahan bulan tersebut.

Menurut beliau lagi, pelbagai hadiah menarik turut disediakan bagi para peserta, meskipun butiran lanjut mengenai ganjaran tersebut masih dirahsiakan.