Peliter@KSNT 2025 Sasar 200,000 Pengunjung

KUALA TERENGGANU, 11 Mac -Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan sehingga 200,000 pengunjung pada Program Pelita Raya Terengganu (Peliter@KSNT 2025) tahun ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, bertemakan 'Membudayakan Khazanah Warisan Kita' program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac ini di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.

“Berdasarkan pengalaman penganjuran Program Pelita Raya sebelum ini, kami jangkakan kehadiran pengunjung adalah hampir 200,000.

“Dengan pemilihan KSNT yang lebih luas dan memberi kemudahan aksesibiliti serta lebih keselesaan untuk pengunjung, kita sasarkan peningkatan seramai 50,000 orang di mana pada tahun lepas kita telah berjaya mencatat seramai 150,000 pengunjung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman (TVDI), Temubual Selamat Pagi Terengganu (SPT), di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin dapat capai sasaran tersebut kerana kali ini terdapat 19 penyertaan dari pejabat daerah, agensi badan berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Lebih membanggakan katanya, Peliter@KSNT 2025 bakal mencipta sejarah baru apabila berjaya menarik penyertaan dari luar negara antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

Dalam pada itu Ahmad Ridzwan berkata, program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 32 vendor serta usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selain jualan makanan tradisonal dari setiap daerah.

“Turut diadakan demonstrasi makanan tradisional seperti loklik, jalam mas, ketupat palas dan lain-lain.

“Serta demo kraf dan permainan tradisional seperti anyaman, ting-ting bulu ayam, batu seremban, musang berjanggut, tuju selipar dan sebagainya,” katanya.