• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

'Pemain Perlu Fokus Mental dan Fizikal'

KUALA NERUS, 6 Disember - Pemain-pemain pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) harus menyediakan fizikal dan mental yang ampuh dalam usaha menyaingi pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 nanti.

Itu nasihat yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.

"Buat masa ini, saya lihat jurulatih memberikan tumpuan sepenuhnya dan beberapa pemain yang cedera diberitakan telah pulih serta boleh terlibat (dalam perlawanan). Cuma, saya harap mereka capai kecergasan sepenuhnya.

"Dalam perlawanan akhir ini, mereka perlu fokus dan memastikan tidak diusik pelbagai gangguan dalam padang.

"Seperti kita tahu, Johor DT sebuah pasukan yang cukup lengkap dan mereka juga memiliki keupayaan mengusik emosi. 

"Jadi ,harap mereka mengekalkan tumpuan dalam perlawanan," katanya.

Dalam pada itu, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner lega dengan kembalinya tiga tonggak pertahanannya yang dilanda kecederaan sebelum ini.

"Shahrul Nizam, Safwan Mazlan dan Azam Azmi, hanya Alif Zakaria yang masih cedera.

"Semua tahu tentang Johor DT, mereka ada pemain berkualiti dan menewaskan kami beberapa kali.

"Tetapi, kami tahu bagaimana kami perlu bermain. Kami perlu lebih agresif, lebih fokus, lebih banyak berlari dan sedikit tuah untuk menewaskan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di LTSM, tengahari tadi.

Bagi menghadapi aksi akhir yang berlangsung Jumaat ini, pasukan 'Sang Penyu' berlepas ke Kuala Lumpur dengan Hishamuddin serta sebahagian ahli lembaga pengarah Terengganu FC Sdn Bhd turut menghantar pasukan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

 


Tag: