• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemaju Janji Siapkan Segera Perumahan Gong Cempedak

KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Pemaju Perumahan Gong Cempedak berjanji untuk memulakan kembali projek Perumahan Gong Cempedak fasa 3 yang sudah terbengkalai lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, pihaknya sebelum ini telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju swasta bagi memastikan nasib pembeli terbela walaupun ia bukan projek kerajaan negeri.

"Kita telah melakukan rundingan di Kuala Lumpur dia bersetuju selepas raya hendak memulakan kembali projek ini, sebelum ini masalahnya ialah kekurangan kewangan, duit tidak cukup untuk memulakan kembali.

"Memang dari segi kewangan dia tenat, bank dah tak nak bagi pinjaman lagi jadi dia cari 'partner' untuk meneruskan projek ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, di Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kepada Petugas Kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Camelia Ballroom, Paya Bunga Hotel, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Tambah Dato' Dr Alias, pihaknya akan sentiasa memantau perkembangan projek tersebut.

"Jadi buat masa ini bagi pihak Kerajaan negeri kita boleh  berunding bagi memastikan dia (pemaju) akan memulakan balik projek, saya yakin nampak kesungguhan dia itu ada termasuk mencari partner untuk 'support' dari sudut pelaburan.

"Namun, kita akan sentiasa pantau agar projek ini siap," ujarnya lagi.

Untuk rekod, projek swasta itu terbengkalai lebih 10 tahun kerana masalah kewangan yang dihadapi pemaju.

Pihak pembeli memohon campur tangan kerajaan negeri bagi memastikan nasib mereka terbela.

Sebelum ini, Dr Alias berkata pihaknya sudah mencari kontraktor penyelamat dalam usaha membantu menyiapkan projek itu.