• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pemandu Teksi, Pekerja Kebersihan Kemaman Terima Bantuan YaPIEM

KEMAMAN, 24 September - Sebanyak 132 keluarga terpilih terdiri daripada pemandu teksi, pengusaha teksi, pekerja kebersihan dan pengusaha bas sekolah di daerah Kemaman menerima bantuan melalui Program Inspirasi Qaseh Kami : Food Bank Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) 3.0 hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang menyempurnakan pemberian bantuan tersebut berkata, sumbangan berupa barangan keperluan bernilai RM100 setiap seorang itu adalah sebahagian daripada siri-siri bantuan agensi agama tersebut kepada masyarakat.

"Hari ini kita menyantuni sebahagian golongan terjejas kerana kerja-kerja asas mereka tidak dapat di laksanakan secara langsung berikutan pandemik Covid-19.

"Kita melihat keperluan mereka untuk dibantu melalui program 'food bank' dan daripada jumlah keluarga terpilih, dua keluarga terpilih meneruma sumbangan Inspirasi Prihatin YaPIEM berjumlah RM500 setiap keluarga.

"Secara keseluruhan sumbangan yang hari ini adalah sebanyak RM14,200 dan semoga sumbangan ini meringankan beban keluarga dan menjadi pemangkin dalam menjalani hari-hari mendatang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pemberian bantuan tersebut kepada wakil penerima di perkarangan Stesen Teksi Kemaman, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Terdahulu, YaPIEM turut menyalurkan bantuan kepada nelayan-nelayan di Kemaman sebagai golongan sasar dan RM24,000 telah disalurkan kepada penerima dalam kedua-dua program berkenaan.

YaPIEM merupakan antara agensi agama yang efektif dalam menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga memerlukan melalui inisiatif dan program-program yang dianjurkan.

Sejak 1985, YaPIEM telah membelanjakan RM638 juta kepada lebih lima juta penerima manfaat. Melalui program 'food bank' sahaja, sebanyak RM21.65 juta telah disalurkan kepada 1.15 juta penerima.

Barangan yang disumbangkan dibeli daripada pengusaha tempatan bagi membantu ekonomi setempat secara tidak langsung- Ahmad Marzuk.

 

 

 

 

 


Tag: