KUALA TERENGGANU, 20 April – Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menegaskan perkhidmatan awam kekal menjadi tunjang utama kepada pentadbiran sesebuah negeri dan negara.
Baginda bertitah, pentadbiran masa kini berdepan cabaran besar untuk terus kekal relevan dalam suasana perubahan teknologi yang pantas serta tuntutan rakyat yang semakin tinggi terhadap mutu penyampaian perkhidmatan.
Menurut baginda, isu kecekapan penyampaian perkhidmatan, integriti serta karenah birokrasi terus menjadi antara perkara yang sering dibincangkan masyarakat.
“Birokrasi dahulunya sinonim dengan proses manual perlahan kini mengalami transformasi melalui penerapan Kecerdasan Buatan (AI).
“Automasi tugas rutin dan mengurangkan campur tangan manusia dalam urusan teknikal membolehkan proses kelulusan lebih pantas dan tepat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Tengku Muhammad Ismail bertitah usaha meningkatkan kecekapan dan mengurangkan birokrasi perlu terus dilaksanakan supaya penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih berkesan.
“Beta menyarankan agar peningkatan kecekapan perlu fokus kepada pemodenan, pengurusan prestasi tinggi dan penumpuan kepada rakyat,” titah baginda.
Dalam masa sama, baginda turut menegaskan aspek integriti mesti terus dipertahankan sebagai tunjang utama dalam pentadbiran semasa agar kepercayaan awam terhadap kerajaan terus kukuh.
“Sukacita ingin Beta tekankan di sini bahawa, aspek integriti hendaklah kekal sebagai tunjang utama dalam pentadbiran hari ini agar kepercayaan awam terus kukuh,” titah baginda.
Menurut baginda, integriti bukan sekadar prinsip moral, sebaliknya menjadi asas penting kepada kepercayaan rakyat, keberkesanan pentadbiran serta imej kerajaan secara keseluruhan.
“Ia bukan sekadar prinsip moral, tetapi menjadi asas kepada kepercayaan rakyat, keberkesanan pentadbiran dan imej kerajaan secara keseluruhan.
“Inilah nilai yang perlu terus disemai demi melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa, berdaya saing dan dihormati. Penerapan nilai-nilai etika bukan sekadar di atas kertas, malah perlu diterapkan melalui budaya kerja yang telus di setiap peringkat organisasi,” titah baginda lagi.
Justeru, baginda menyeru agar lebih banyak inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh integriti dalam kalangan penjawat awam, sekali gus membentuk budaya kerja yang telus dan berakauntabiliti tinggi.
Pada masa sama, Tengku Muhammad Ismail turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam atas komitmen dan inovasi mereka dalam memastikan setiap perancangan kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dengan berkesan.
“Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam di atas komitmen dan inovasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan segala perancangan kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat,” titah baginda.
Tag :