• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Pembalakan Terpilih Tidak Ganggu Habitat Harimau

DUNGUN, 27 Januari - Pembalakan secara terpilih dan terancang adalah baik  untuk populasi haiwan seperti harimau Panthera Tigris kerana hanya sebilangan pokok tertentu sahaja ditebang bagi mengekalkan kelestarian hutan. 

Pengarah Perhutanan negeri, Roslan Rani berkata ia selaras dengan amalan pengurusan Hutan Lestari (SFM) yang bertujuan melindungi habitat hidupan liar.

Katanya, pembalakan yang dilakukan adalah mengikut kaedah, iaitu pokok besar yang telah matang sahaja ditanda dan akan ditebang.

"Kita memiliki cara untuk menentukan had batasan penebangan dengan mengadakan bancian terlebih dahulu bagi menentukan pokok mana yang boleh diambil atau ditebang untuk dikeluarkan, ada banyak kriteria dalam menentukan had penebangan.

"Bukan semua dibenarkan untuk tujuan berkenaan, kita telah melakukan penandaan yang boleh ditebang dan mana yang tidak boleh seperti pokok buah-buahan, kita tanda supaya ia dilindungi, daripada 32 jenis pokok yang bersaiz sederhana kita akan simpan yang akan diambil 10 hingga 12 batang sahaja.

"Kita juga telah kelaskan 480,000 hektar hutan pengeluaran yang dibenarkan dilakukan aktiviti pembalakan, manakala hutan perlindungan adalah 120,000 hektar tanpa ada sebarang pembangunan, sebagai contoh Terengganu memiliki taman negeri seluas 103 ribu hektar jadi hutan masih dapat dikekalkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa  Majlis Kick-Off Penanaman Pokok Tahun 2022 Bersempena Program Penghijauan Malaysia : Kempen Penanaman 100 Juta (2021-2025) Pokok, Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu Tengku Sri Bijaya Raja, di Pantai Teluk Bidara, pada hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.

Majlis yang dianjurkan Jabatan Perhutanan negeri itu turut mengajak penduduk kampung sekitar lokasi penanaman bergotong royong bagi membersihkan kawasan persisiran pantai sepanjang 1.0 km di Pantai Teluk Biadara.

Kempen yang dimulakan pada tahun 2020 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dan persekutuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti akan kepentingan hutan kepada kesejahteraan manusia dan kehidupan lain.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, kerajaan memandang serius mengenai perkara terbabit kerana itu pembalakan di Terengganu tidak berlaku sewenang-wenangnya sehingga memusnahkan habitat semula jadi.

"Di kawasan yang menjadi laluan kepada haiwan, sebarang pembinaan jalan dirancang terlebih dahulu dengan menentukan berapa laluan yang sepatutnya dibuka malah pembalakan hanya berlaku di hutan pengeluaran bukannya hutan perlindungan," ujarnya.


Tag: