• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pembentung, Jambatan Atasi Banjir Bakal Dibina Di Teluk Kalong September Ini

Foto oleh : Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 16 Jun - Pembentung dan jambatan baharu bakal dibina di Telok Kalong September ini bagi mengatasi masalah banjir yang telah berlarutan sejak sekian lama. 

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, projek bernilai RM12 juta yang melibatkan pembinaan pembentung dan jambatan itu dibiayai menerusi peruntukan kerajaan Pusat.

“Kita jangka projek ini dapat mengurangkan kesan banjir di kawasan sekitar Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong kerana saliran sedia ada tidak mampu lagi menampung jika berlaku hujan lebat. 

“Tender projek akan dikeluarkan bulan depan disusuli kerja-kerja pembinaan pada September dan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh bulan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah dan Ladang Kelapa Sawit di Bandar Baru Cheneh, di sini, kelmarin.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menyempurnakan penyerahan geran hak milik tanah kepada kepada 543 peneroka FELDA Neram 2 Peringkat 1, 2 & 3, Mukim Bandi dan Hulu Jabor di daerah Kemaman setelah tertangguh selama lebih 30 tahun.