• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Pembinaan SRIDQ Terengganu Perlu Peruntukan RM5 juta

Dato' Seri Abdul Hadi (kiri) bersama Dr Ahmad Samsuri (dua dari kiri) merasmikan Majlis Pecah Tanah SRI DQ di Marang semalam.
MARANG, 28 Januari - Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) akan dibangunkan atas tanah berkeluasan 4.3 ekar dengan anggaran peruntukan sebanyak RM5 juta, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang.

Ini menepati janji PAS dalam manifestonya bagi membina sebuah sekolah rendah Islam untuk setiap 32 kawasan DUN di seluruh negeri Terengganu.

Sekolah rendah itu dirasmikan majlis pecah tanahnya oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di tapak bangunan SRIDQ di Kampung Gong Cempedak Jalan Batangan, di sini, semalam.

Menurut Pengarah Projek Pembangunan SRIDQ, Wan Nelam Abdul Rahman, sekolah rendah berkenaan akan beroperasi mulai tahun depan, dirancang untuk dibina dua fasa pembinaan termasuk fasa pertama yang mempunyai 24 bilik darjah.

Katanya, di bawah fasa satu, akan dibangunkan tiga blok bangunan termasuk bangunan induk tiga tingkat berbentuk 'U', merangkumi bilik darjah, pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik tetamu, bilik kokurikulum dan bilik tayangan audio visual.
Tuan Guru Abdul Hadi memimpin doa selepas solat hajat sempena Majlis Pecah Tanah SRI DQ di Marang semalam.
Sementara dua blok berasingan lagi akan dibina masing-masing sebuah surau dan kantin.

"Sebelum bangunan siap sepenuhnya SRIDQ akan menyewa di premis-premis tertentu yang akan dikenal pasti," katanya ketika memberi taklimat pembangunan di majlis pecah tanah tersebut.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali dan Pengawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Menurut Wan Nelam, antara lain akan dibina dataran berbumbung, sesuai dengan cuaca Pantai Timur yang mengalami musim tengkujuh di hujung tahun.

"Kita akan menyediakan dataran berbumbung bagi mengadakan aktiviti-aktivi pelajar seperti ko-kurikulum, senaman, perhimpunan dan sebagainya," jelas beliau.

Sementara itu katanya, di bawah fasa kedua akan dibina bangunan tambahan bilik darjah, asrama, bangunan stor dan utiliti, padang permainan bola sepak, sepak takraw serta kelengkapan sekolah lain yang diperlukan.

Wan Nelam juga berkata, silibus yang akan diguna pakai adalah yang ditetapkan oleh Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu.

Terdahulu dari itu, solat hajat diadakan di tapak berkenaan secara berjemaah dan diimamkan oleh Abdul Hadi.

Tag: