• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pembudayaan Inovasi Sektor Awam Mampu Tambahbaik Penyampaian Perkhidmatan

KUALA TERENGGANU, 20 November- Pembudayaan inovasi di sektor awam mampu menambahbaik penyampaian perkhidmatan untuk manfaat rakyat dan negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, pembudayaan inovasi mampu mengubah masyarakat daripada masyarakat pengguna semata-mata kepada yang aktif menyumbang dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan baharu. 

“Seterusnya akan mencorak revolusi digital dan teknologi yang dapat menyumbang dalam merealisasikan visi Malaysia MADANI.

“Kreativiti dan inovasi adalah dua perkara yang sangat diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia dimana kedua-dua elemen ini memberikan impak yang besar kepada kemajuan seseorang individu dan organisasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Anugerah Persada Inovasi Terengganu 2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, kreativiti dan inovasi menjadi agenda yang besar dan sangat diambil berat oleh sektor kerajaan. 

“Melalui inovasi, kita perlu menggunakan minda kreatif dan daya imaginasi tinggi, kedua-dua elemen ini sangat diperlukan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan berdaya saing selaras dengan gerakan Revolusi Industri 4.0,” ujarnya.

Juteru beliau menyarankan semua penjawat awam harus menginovasikan sistem perkhidmatan yang lebih baik terhadap masyarakat dari semasa ke semasa mengikut peredaran masa. 

“Jangan pasif untuk mencadangkan sesuatu idea dan sistem baharu,” ujarnya.