• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penantian 33 Tahun Dapatkan Hak Milik Geran Tanah Tertunai - Peneroka Felda Mengkawang

Mahari Othman (Hadapan)Memegang Geran Hak Milik Besama Penerima-Penerima Lain.

"Akhirnya hajat saya tercapai jua  setelah menunggu hampir 33 tahun untuk menerima geran hak milik tanah di Felda Mengkawang hari ini," kata Mahari Othman,58, yang merupakan generasi pertama peneroka di tanah rancangan itu.


Jelasnya, segala penat lelah selama ini hilang dengan pengiktirafan yang diberikan dan kini mendapat hak milik tanah untuk diwarisi.

Mahari berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Daerah Hulu Terengganu dan Penyampaian Geran Hak Milik Tanah kepada 176 peneroka Felda Mengkawang di Masjid Felda Mengkawang, Ajil, kelmarin.


"Alhamdulillah, ia merupakan rezeki bulan Ramadan pada tahun ini. Sudah terlalu lama menunggu saat untuk menerima hak milik setelah bertungkus lumus mengusahakan tanah rancangan sejak ia mula dibuka 33 tahun lalu. 

"Saya pernah terfikir sama ada saya masih sempat menerima geran tersebut apabila seorang demi seorang kawan-kawan termasuk ahli blok meninggal dunia, mereka sama-sama meneroka di awal pembukaan tanah rancangan tersebut," katanya.

Di majlis itu, seramai 176 peneroka Felda Mengkawang daripada 329 peneroka menerima hak milik tanah daripada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib. 




Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato' Rozi Mamat dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Azmi Razik.

Bagi generasi kedua Felda Mengkawang, Roziyawati Mat Deris, 39,berkata, saat gembira itu tidak dapat dikongsi dengan ibu bapanya yang telah lama meninggal dunia.

 "Ayah dan emak merupakan generasi pertama yang membuka tanah rancangan ini dan banyak berjasa di Felda Mengkawang.

“Ayah saya,Mat Deris Mat Hasan meninggal pada 2014 dan emak, Esah Yassin pula pada 2007. Ketika arwah ayah masih hidup,dia sangat aktif dengan pelbagai jawatan termasuklah ketua blok, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) serta bendahari masjid,"katanya.


Roziyawati Mat Deris
Roziyawati berkata,beliau merasa gembira dan terharu setelah bertahun-tahun, akhirnya pengorbanan generasi pertama termasuk arwah ayahnya dihargai.

Tag: