• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Pendaftaran Pelajar Baru SMIDI Terengganu Berjalan Lancar

Ibu bapa sedang mendaftarkan anak-anak  mereka di SMIDI Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.

DUNGUN, 19 Januari - Pendaftaran pelajar baharu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) hari ini berjalan lancar dengan seramai 70 orang pelajar telah berdaftar di sekolah berkenaan.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), To' Puan Aida Tengah berkata, selepas cuti hari raya Cina nanti seramai 30 pelajar rayuan akan diberi tawaran untuk melengkap 100 pelajar mengikuti persekolahan di sekolah elit itu.

"Kita (Kerajaan Negeri) akan membuka empat kelas dengan kapasiti 25 orang pelajar setiap kelas, sesuai sesi pengajaran dan pembelajaran di mana jumlah pelajar yang berada dalam kelas itu tidak ramai bertepatan dengan 'standard' yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
To' Puan Aida Tengah

"Hari ini para pelajar akan ditempatkan di asrama dan SMIDI adalah sekolah berasrama penuh dan sekolah elit sekaligus yang pertama diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebagai menunaikan manifesto kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Pendaftaran Tingkatan 1 di Dewan Besar sekolah berkenaan di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir di sidang media itu, Pengetua SMIDI, Wan Mohd Noor Wan Ismail.
Seorang ibu mengiringi anaknya ke Dewan Pendaftaran SMIDI Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.
Aida seterusnya berkata, seramai 18 orang guru berpengalaman bertugas di situ mengikut Kurikulum Bersepadu Dini (KBD).

Serentak itu beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas penubuhan SMIDI yang disifatkan memberi nilai tambah kepada anak-anak pelajar Terengganu untuk menempatkan diri di sekolah agama seterusnya belajar ilmu agama dengan menggunakan kitab Turath yang terkandung dalam KBD.

Selain dari itu katanya, anak-anak berkenaan juga didedahkan dengan pelajaran menghafaz Al-Quran sebanyak 30 Juzu' dengan persekitaran yang sangat sesuai untuk mereka berbuat demikian.
Ibu bapa dan pelajar mengaminkan doa pembukaan Majlis Pedaftaran Tingkatan 1 SMIDI.

"Faktor kedua adalah apabila pelajar tersebut ditempatkan di asrama penuh, mereka mempunyai masa yang sangat panjang untuk menghafaz Al-Quran dan rasanya tidak ada masalah untuk anak-anak ini berbuat demikian.

"Selain daripada itu guru-guru yang dibekalkan di sini adalah guru-guru yang kebanyakannya yang berpengalaman," ujarnya.

Katanya, JHEAT memberi tanggungjawab kepada Cikgu Wan Mohd Noor sebagai Pengetua yang mempunyai pengalaman luas dan bertugas selama 20 tahun dengan jabatan itu.
Wan Mohd Noor Wan Ismail

"Beliau merupakan seorang yang sangat komited memajukan SMIDI ini untuk berada di tahap yang lebih baik dan memberi kemudahan yang terbaik kepada anak-anak pelajar.

"Jadi Jabatan sangat berharap dan mengalu-alukan serta berterima kasih kepada kesudian Wan Mohd Noor untuk memikul tanggungjawab ini untuk berada di SMIDI dan melancarkan program pendaftaran bermula pada hari ini, mentadbir guru-guru serta perjalanan SMIDI, mengendalikan hala tuju SMIDI sampai kepada Pengetua yang kekal akan datang," ujarnya lagi.


Tag: