• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pendaftaran Program Usahawan Belia Kini Dibuka

KUALA TERENGGANU, 8 Januari – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu kini membuka kembali pencarian program Usahawan Belia Sejahtera (UBES 3.0) bagi membantu anak muda membangunkan perniagaan sendiri.

Menurut YPU, antara objektif inisiatif itu ialah untuk membantu warga muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran yang tidak berpeluang menyambung pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta menceburi dunia keusahawanan.

“Antara keistimewaan program ini adalah penyediaan latihan dan bimbingan oleh tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang berkaitan, Geran Peralatan sehingga RM5,000 serta Geran Pembangunan Perniagaan sehingga RM2,000 di samping pemantauan perniagaan.

“Antara syarat kelayakan ialah Bumiputera, Islam dan rakyat Terengganu, berminat menjadi usahawan sepenuh masa, berumur 18 hingga 35 tahun dan jika sekiranya berniaga mestilah tidak melebihi tiga tahun beroperasi,” jelasnya baru-baru ini.

Menurut YPU lagi, permohonan secara atas talian sahaja boleh dibuat di laman pautan https://bit.ly/permohonan-UBES dengan tarikh tutup permohonan pada 16 Januari (Ahad).

Untuk pengetahuan, sebarang pertanyaan boleh hubungi di nombor talian 09-6242424 (Bahagian Pembangunan Usahawan).