• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pendapatan GLC Terengganu, TDM Meningkat Sembilan Peratus

KUALA TERENGGANU, 2 Disember - Pendapatan anak syarikat kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2021 meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding 2020.

Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfar’izan Hashim berkata, pencapaian memberangsangkan itu disumbangkan oleh jumlah pendapatan yang tinggi direkodkan oleh bahagian penjagaan kesihatan dan perladangan.

“Masing-masing sebanyak RM6.5 juta dan RM4.2 juta, atau peningkatan sebanyak 13 dan 16 peratus. 

“TDM juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM18.9 juta ketika suku tersebut, berbanding RM27.7 juta (termasuk keuntungan one-off RM21.8 juta) ketika suku yang sama di tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut beliau, pendapatan TDM bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021 turut meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ujarnya, ia juga adalah hasil peningkatan pendapatan oleh bahagian penjagaan kesihatan sebanyak 12 peratus atau RM16.7 juta dan bahagian perladangan sebanyak 10 peratus atau RM16.0 juta. 

“TDM juga mencatatkan peningkatan PBT yang ketara sebanyak RM14.3 juta, lebih daripada dua kali ganda angka yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

”PBT sebanyak RM27.7 juta dan RM5.8 juta bagi suku ketiga 2020 dan sembilan bulan berakhir 2020, masing-masing adalah termasuk keuntungan ‘one-off’ atas pembelian bernilai RM21.8 juta daripada pemerolehan TDM-YT Plantation Sdn. Bhd,” tambah beliau.


Tag: