• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pendapatan Suku Pertama TDM Meningkat 40 Peratus

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - TDM Berhad mengumumkan hasil keputusan kewangan untuk suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac 2022 adalah memberangsangkan.

TDM Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, pendapatan TDM bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding suku yang sama sebelum ini hasil daripada pendapatan yang tinggi dijana oleh Bahagian Perladangan (67 peratus) dan Penjagaan Kesihatan syarikat (13 peratus).

“Pendapatan yang baik dicatatkan Bahagian Perladangan adalah didorong terutamanya oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirong sawit (PK) yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 51 peratus dan 83 peratus,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu katanya, pertumbuhan positif daripada Bahagian Penjagaan Kesihatan TDM pula disumbangkan oleh kadar penghunian yang semakin memulih sebanyak 18 peratus dan bilangan pesakit dalam dan pesakit luar yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 17 peratus dan 6 peratus. 

Menurut kenyataan itu, Kumpulan TDM mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM17.0 juta pada suku tersebut, peningkatan sebanyak RM20.3 juta berbanding Kerugian Sebelum Cukai (LBT) sebanyak RM3.3 juta ketika tempoh yang sama tahun lalu. 

“Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) syarikat juga meningkat daripada RM23.3 juta kepada RM40.8 juta pada suku ini,” ujarnya.