lightning-solid
Berita :
Pendapatan Terengganu Inc. Melonjak RM1.75 Bilion, Untung Tiga Kali Ganda
Pendapatan Terengganu Inc. Melonjak RM1.75 Bilion, Untung Tiga Kali Ganda
Mastura Jamal Din
09 Sep 25
3367

KUALA TERENGGANU, 8 September – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), syarikat pelaburan strategik milik penuh Kerajaan Negeri Terengganu, menutup tahun kewangan 2024 dengan rekod cemerlang apabila mencatat pendapatan keseluruhan RM1.75 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM81.7 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pencapaian ini didorong oleh kekuatan sektor teras melibatkan perladangan, minyak dan gas serta penjagaan kesihatan yang secara kolektif menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah hasil kumpulan. 

“Perladangan kekal penyumbang utama dengan 36 peratus hasil, dipacu kestabilan harga minyak sawit mentah dan peningkatan produktiviti ladang.

“Industri ini bukan sahaja menyokong kedudukan kewangan syarikat, malah turut memberi impak besar kepada rantaian bekalan serta peluang pekerjaan tempatan,” jelasnya ketika ditemui di pejabat Terengganu Inc di Chendering, semalam.

Beliau berkata sektor minyak dan gas menyumbang 23.1 peratus daripada hasil, manakala sektor penjagaan kesihatan pula menyumbang 20.3 peratus, sekali gus menggambarkan prospek positif dalam kedua-dua industri berkenaan. 

Selebihnya ujar beliau, datang daripada sektor tenaga dan sumber asli (13.4 peratus), infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan (4.4 peratus), pelancongan (1.5 peratus) serta pelaburan lain (1.3 peratus).

Katanya lagi, dari sudut keuntungan, Terengganu Inc. berjaya melonjakkan PBT lebih tiga kali ganda kepada RM81.7 juta berbanding RM26 juta tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM42.2 juta. 

“Perubahan daripada kerugian kepada keuntungan membuktikan keberkesanan langkah pengurusan operasi, pengoptimuman kos serta strategi pelaburan yang lebih berfokus,” katanya.

Tambahnya, pada masa sama, jumlah aset kumpulan turut meningkat kepada RM3.85 bilion pada akhir 2024 berbanding RM3.76 bilion tahun sebelumnya. 

Jelas beliau, ekuiti pemegang saham mencecah RM1.69 bilion, manakala liabiliti berada pada paras RM2.16 bilion mencerminkan kedudukan kewangan yang lebih stabil dengan struktur modal seimbang.

Menurut Burhanuddin, segmen infrastruktur, pembinaan dan kejuruteraan menjadi antara penyumbang terbesar pertumbuhan apabila berjaya menggandakan hasil berbanding tahun lalu.

Katanya, sektor pelancongan turut mencatat pemulihan kukuh menerusi peluasan operasi perhotelan dan peningkatan aktiviti pelancongan domestik.

“Secara keseluruhan, prestasi 2024 membuktikan Terengganu Inc berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan strategi kepelbagaian perniagaan serta memperkukuh daya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan