Jalur Gemilang
Berita :
Pendekatan Bersepadu Tangani Ancaman Haiwan Perosak
Pendekatan Bersepadu Tangani Ancaman Haiwan Perosak
Noraini Jusoh
16 Nov 26
26

KUALA TERENGGANU, 16 November – Sebanyak 250 ekor kera ditembak mati menerusi Operasi Bersepadu Basmi Musuh Tanaman di Hulu Terengganu pada 22 April lalu bagi menangani ancaman hidupan liar yang menyebabkan kerosakan tanaman serta menjejaskan pendapatan petani.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian serta pihak berkuasa tempatan.

Katanya, tindakan itu merupakan antara langkah kawalan yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi mengurangkan konflik antara manusia dengan hidupan liar khususnya kera yang sering mengganggu kawasan pertanian.

“Apabila berdepan konflik antara haiwan dan manusia, kepentingan manusia perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Azman, kerajaan negeri melaksanakan pendekatan bersepadu menerusi Jabatan Pertanian dan PERHILITAN Terengganu mengikut bidang kuasa masing-masing bagi menangani masalah musuh tanaman.

“Antara langkah yang diambil termasuk operasi bersepadu basmi musuh tanaman, pemasangan perangkap, rondaan berkala di kawasan konflik serta pembangunan Pelan Pengurusan Kera (Macaca fascicularis) Bermasalah.

“Malah, bagi tempoh 2024 hingga 2026, pelbagai operasi kawalan turut dilaksanakan di beberapa daerah yang dikenal pasti berdepan ancaman haiwan perosak,” ujarnya.

Menurut beliau, pada 2024, sebanyak 11 operasi dilaksanakan melibatkan satu di Besut, Hulu Terengganu (6) dan Dungun (4).

“Jumlah itu meningkat kepada 20 operasi pada 2025, melibatkan Hulu Terengganu (11), Dungun (6) dan masing-masing satu di Besut, Kemaman dan Kuala Terengganu.

“Manakala bagi 2026, sebanyak 20 operasi dilaksanakan melibatkan Hulu Terengganu (14), Besut (3) dan Kemaman (3),” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Pertanian turut melaksanakan Program Pemulihan Kawasan Penanaman Secara Bersepadu (CSR) bagi membasmi musuh tanaman yang bermula sejak 2023 dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Katanya, program berkenaan menerima peruntukan sebanyak RM26,125 pada 2024 sebelum meningkat kepada RM81,785 pada 2025 bagi pelaksanaan pelbagai program kawalan perosak dan pemulihan kawasan tanaman di beberapa daerah.

“Melalui program ini, kehadiran musuh tanaman dapat dikurangkan sekali gus membantu petani mengawal ancaman perosak dan mengurangkan kerugian hasil pertanian.

“PERHILITAN Terengganu juga mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima menerusi siasatan, pemantauan, tembak halau dan pemasangan perangkap, manakala tindakan penakaian atau tembak mati boleh dilaksanakan bagi kes gangguan serius berdasarkan penilaian jabatan,” jelasnya.

Katanya, Pelan Pengurusan Kera Bermasalah turut menjadi panduan rasmi bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar melalui pemetaan taburan populasi, operasi tangkap dan pindah, khidmat nasihat serta kesedaran awam.

“Kerajaan negeri berharap peruntukan program kawalan musuh tanaman dapat diteruskan bagi memastikan usaha membantu petani di lapangan dilaksanakan berkesan,” ujarnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan