Pendekatan Holistik Diambil Tangani Masalah Belia

KUALA TERENGGANU, 18 April — Kerajaan negeri komited menangani masalah akhlak dalam kalangan generasi muda melalui pendekatan holistik dan mesra belia, melibatkan aspek pendidikan, sukan, keagamaan dan pembangunan sahsiah diri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pendekatan tersebut digerakkan melalui pelbagai program strategik termasuk program pelapis negeri melibatkan atlet berumur 18 hingga 21 tahun dalam 18 jenis sukan utama seperti renang, memanah, olahraga, taekwondo dan tinju.

"Terdapat 19 Pusat Latihan Negeri ditubuhkan bagi program Pelapis Negeri melibatkan Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Dungun, Marang, dan Besut," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, kelmarin. 

Bagi menarik minat lebih ramai belia kepada aktiviti sihat dan bermanfaat,jelas beliau kerajaan turut melaksanakan Program LEGASI (Lepak, Cergas dan Santai) yang menampilkan pendekatan santai dan mendekati golongan muda.

Katanya, antara pengisian program ialah aktiviti mendaki bukit, bedah kitab dan sesi perkongsian ilmu bersama pendakwah selebriti.

"Melalui pendekatan bersepadu yang merangkumi elemen pendidikan, riadah dan keagamaan ini, Kerajaan Negeri yakin ia mampu memberi impak positif dalam membina sahsiah mulia dalam kalangan anak muda Terengganu," tambah beliau.

Selain itu ujar beliau, program sukan belia dan acara bersih pantai turut ada.

Di samping itu katanya, Kerajaan Negeri juga memperkukuh pembangunan sahsiah melalui Program Akademi Al-Fateh. 

"Kerajaan negeri juga turut memberikan tumpuan kepada pembangunankemahiran belia. 

"Bengkel-bengkel kemahiran telah dirancang dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan swasta, bagi memastikan anak muda Terengganu dilengkapi dengan ilmu dan kemahiran yang relevan untuk
menghadapi cabaran masa depan.

"Insya-Allah, dengan usaha bersama, kita
akan dapat melihat Terengganu melahirkan lebih ramai anak muda yang berilmu, berakhlak dan berwawasan," tambah beliau.


Tag: