• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Pendidikan Fokus Utama Kerajaan

Haji Muhyidin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan saguhati kepada pelajar MDQ. Foto: Solahuddin Al-Idrus
Oleh: Aslam Wira

MARANG - Pendidikan merupakan salah satu fokus atau agenda utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya merupakan asas perjuangan yang telah dibawa oleh Rasulullah yang telah mengeluarkan masyarakat Arab daripada lembah jahiliyah kembali kepada fitrah sebenar iaitu Islam.

Menurutnya, beliau sedia maklum dari sudut pembangunan fasiliti, Maahad Darul Quran (MDQ) telah melakukan proses meningkatkan kemudahan infrastruktur dalam pembinaan dewan serbaguna tiga tingkat.

"Semua ini memerlukan dokongan dan sokongan dari semua pihak terutamanya ibu bapa bagi menjayakan segala agenda penambahbaikan buat MDQ," ujarnya.


Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Muhyidin Abdul Rasyid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-23 Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) MDQ di Dewan Besar MDQ, Rusila (29 September).

Sementara itu, Haji Muhyidin yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Terengganu berkata, sejajar dengan perjuangan parti bermula dari awal penubuhan sehingga kini, pendidikan telah menjadi fokus utama.

Katanya, proses pendidikan akan berjaya dengan adanya kerjasama di antara ibu bapa dan guru-guru.

“Saya percaya atas sebab itulah majlis ibu bapa dan guru bertahan sehingga ke hari ini kerana memperjuangkan pendidikan.

"Pendidikan adalah suatu proses mengekang sifat jahiliah dalam masyarakat sekaligus membentuk manusia menjadi insan beriman serta bertakwa," tambahnya.

Mesyuarat yang diadakan setiap tahun itu bermula jam 9:00 pagi.

Antara yang terlibat adalah Ahli Lembaga Pengarah MDQ, Ahli Jawatankuasa MIBG MDQ, ibu bapa, guru-guru dan kakitangan MDQ.

Turut hadir ke Mesyuarat Agung MIBG tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman.

Tag: