• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penduduk Felda Jerangau A Urus Sendiri Jenazah HIV/AIDS?


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 22 Julai - Sebahagian penduduk Felda Jerangau A bertungkus-lumus menguruskan sendiri 'jenazah' Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Mohd Sidek Muhammad yang menghidap penyakit ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ (AIDS), semalam.

Bagaimanapun, ia bukanlah kejadian yang benar-benar berlaku.

Sebaliknya, gimik tersebut merupakan salah satu modul praktikal yang didedahkan Pejabat Kesihatan Daerah Dungun dalam Kursus Pengurusan Jenazah yang berlangsung di Balai Raya felda berkenaan, semalam.


Menurut Sidek, kursus anjuran pihak MPKK bertujuan memberi pendedahan kepada sekitar 50 peserta yang hadir berkaitan tatacara mengendalikan jenazah yang menghidap penyakit HIV ataupun AIDS.

“Kita sedia maklum, untuk menguruskan jenazah pesakit seperti itu agak rumit dan memerlukan kaedah khusus serta pengendalian lebih teliti.

“Inilah kelainan yang kita cuba bawa ketengahkan supaya ilmu pengetahuan yang diperolehi dapat digunakan apabila kita berhadapan situasi sebenar nanti," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.

Tambahnya, kursus pada hari berkenaan telah dibahagikan kepada tiga slot iaitu slot penerangan tentang Penyakit Tuberculosis atau lebih dikenali sebagai TB/Tibi, yang dikendalikan Pegawai Kesihatan dan Perubatan pejabat  kesihatan daerah, Dr. Mohd Faris Mahmud.

“Slot kedua pula berkaitan Pengetahuan Tentang HIV dan AIDS yang dikendalikan sendiri Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV dan AIDS, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mahani Nordin.

“Manakala, pengurus jenzah di Hospital Daerah Dungun, Nagmuddin Ismail pula mengendalikan slot Pengurusan Jenazah HIV dan AIDS," jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman merakamkan ucapan tahniah atas penganjuran program berkenaan.

“Program yang bermanfaat seperti ini harus diteruskan, supaya lebih ramai pelapis yang mahir terutama daripada golongan muda dapat di'lahir'kan," katanya.


Tag: