• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penduduk Kawasan Risiko Banjir Perlu Peka Gelombang Seterusnya

HULU TERENGGANU, 18 Disember - Penduduk kawasan berisiko banjir perlu lebih berwaspada untuk menghadapi gelombang berikutnya kerana Terengganu masih dalam iddah banjir dan ia belum berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, mereka perlu sentiasa mengambil tahu dengan amaran semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerana masih wujud risiko untuk gelombang banjir berulang.

"Hujan seperti ini kemungkinan berlaku lagi. Kita baru melepasi gelombang pertama dan kedua, untuk gelombang seterusnya, diminta sentiasa berwaspada. Jadikan apa yang berlaku sebagai iktibar.

"Saya menyeru orang ramai supaya membuat persiapan awal dan sekiranya air naik serta diminta berpindah, perlulah berpindah segera ke tempat yang sudah disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Bakul Makanan Petronas di PPSK FELCRA Gunung Menerong, Ajil di sini hari ini.

Berdasarkan rekod, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dengan jumlah mangsa kini menurun kepada 764 orang.

Sehingga jam 12 tengahari tadi, hanya sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di tiga daerah iaitu Dungun, Marang dan Setiu yang menempatkan 169 keluarga.