• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19

KUALA NERUS, 18 Julai - Seramai 100 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang melanda hebat seluruh dunia baru-baru ini.

Pek barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 itu disumbangkan melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dalam program Musa'adah COVID-19 yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkenaan di negeri itu.

Dr. Zulkifli menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Redang.

Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada penerima dalam Majlis Jalinan Mesra sempena lawatan kerjanya di Pulau Redang, Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Parihah Hassan menyatakan, selain daripada bantuan di Pulau Redang, program Musa'adah Covid-19 turut diadakan di Marang dan Kuala Nerus.

"Kita juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,500 bagi membantu masyarakat di sana dengan kerjasama JAWHAR yang juga menyumbang RM25,000," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.