• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

MARANG, 22 Oktober - Setelah bertahun-tahun terpaksa melalui jalan rosak teruk akhirnya pengguna dan penduduk Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong di sini lega apabila jalan baharu siap untuk digunakan.

Sebelum ini, pengguna dan penduduk kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang besar dan rosak itu kerana ia merupakan laluan keluar terdekat yang menghubungkan dengan kawasan luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya bersyukur kerana proses pembaikian jalan sejauh sekitar dua kilometer itu berjalan lancar dan orang ramai tidak perlu lagi menempuh jalan rosak setiap hari.

Menurutnya, tekanan dialami penduduk kampung berkurangan apabila laluan baharu lebih selesa itu mula dibuka.

"Jalan yang menghubungkan antara jalan utama ke perkampungan dan tanah lot itu telah boleh digunakan sepenuhnya dan bakal dinikmati oleh warga setempat dengan penuh selesa dan selamat.

"Pembinaan jalan dan penurapan ini adalah sebahagian daripada keperluan rakyat dan sememangnya kerja-kerja ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Mohd Nor berharap agar segala aktiviti harian masyarakat akan menjadi lebih teratur dengan adanya jalan baharu berkenaan.

"Bermula daripada awal lagi kerja ini semua dalam proses pembikinan dan sekarang rakyat semua boleh menggunakan jalan ini dengan sebaiknya," tambah beliau.

 


Tag: