• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Penduduk Terjejas Sambut Baik Bantuan Segera Disalurkan Kerajaan

KUALA NERUS, 26 Ogos - Penduduk di dua daerah negeri ini yang terputus bekalan air menyambut baik dengan pengumuman Menteri Besar untuk menyalurkan bantuan segera berjumlah RM2.79 juta.

Nasir Mokhtar, 56, berkata ia menunjukkan kerajaan sangat bertanggungjawab dalam membantu rakyat di negeri ini yang ketika ini mengalami kesulitan disebabkan berlaku sekali lagi perkara di luar jangka.

"Itu yang dimahukan oleh rakyat, tidak dibiarkan rakyat menghadapi kesusahan begitu sahaja. Apa yang saya boleh katakan, jika hendak diikutkan susah, semua mengalami kesusahan pada waktu ini, jangan fikir kita seorang sahaja mengalami kepayahan, orang lain juga mengalami nasib yang sama.

"Perkara ini bukan disengajakan, sebagaimana sedia maklum paip yang rosak itu telah lama. Dengan bantuan diumumkan itu saya fikir sangat membantu di mana sebahagian peruntukkan RM1.25 juta daripada jumlah tersebut diperuntukkan untuk air minuman yang akan disalurkan terus ke setiap rumah yang terlibat.

"Kerana air bersih ini kita boleh buat masak, saya kira sangat baiklah di samping melalui peruntukkan berkenaan akan dipastikan bekalan air bersih dihantar dengan kekerapan yang sesuai sehingga ia dapat diselesaikan.

"Sudah tentu ia akan memudahkan pelbagai golongan yang pada waktu ini ada yang sakit, sedang menjalani kuarantin, uzur, tiada keupayaan dan sebagainya," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika tinjauan di kawasan terjejas semalam.

Nasir berkata, penyediaan pili air daripada sumber utama penduduk antara insiatif pihak kerajaan yang sangat membantu.

"Saya pada setiap hari memerlukan 300 gelen air sehari untuk keluarga saya. Saya akan pastikan ia mencukupi untuk ditinggalkan bagi keselesaan anak dan isteri kerana saya bekerja jauh, keluar pagi balik pula lewat malam.

"Walaupun ada disediakan tangki statik, tapi saya rasa perlu diutamakan kepada mereka yang tidak mempunyai kemudahan tangki besar untuk tujuan menyimpan air, saya kesian dekat orang yang bawa gelen-gelen kecil ini, pada waktu ini tidak boleh ambil sikap mementingkan diri.

"Jika ambil dari tangki berkenaan untuk diisi oleh kita yang ada tangki besar ini lama mereka hendak menunggu, kalau ambil melalui pili yang disediakan ini dalam masa 15 minit boleh memenuhi 100 gelen air

"Lori tangki itu sangat membantu juga sebenarnya, saya lihat di kawasan saya tiga kali lori berkenaan melakukan pengisian air iaitu pada waktu pagi, selepas asar dan juga malam," katanya.

Manakala bagi Che Wan Amina Mat Amin, 33, berpandangan bahawa bantuan kerajaan sebagaimana diumumkan itu sangat membantu dalam menyalurkan bekalan air mineral.

"Kerana ia sesuai untuk makan dan minum. Air tangki lebih sesuai untuk mandi. Ia meringankan beban saya yang mana selama ini dua kali sehari juga saya ambil air, walaupun jauh dari manir. Saya bekerja sebagai penghantar makanan ke bandar, jadi singgah ambil air dari pili ini.

"Kerana untuk tujuan memasak saya rasa lebih baik menggunakan air paip. Jika kerajaan dah umumkan insiatif berkenaan, bersyukur sangatlah. Doa saya agar perkara ini dapat diselesaikan dengan cepat, dan tidak akan kembali berulang," katanya.

Seorang lagi penduduk terjejas, Mohd Shoperi Mat Amin berkata dengan insiatif bantuan pihak kerajaan itu dengan terus menghantar air minuman ke rumah , berupaya mengurangkan kegelisahan masyarakat ketika sedang berhadapan pandemik Covid-19.

"Tidaklah terlalu berulang kali mengambil air, dan terpaksa beratur dan bersesak mengambil air. kerana keutamaan terhadap keselamatan perlu diambil kira dalam keadaan kita berhadapan penularan wabak Covid-19 ini.

"Bagi mengelakkan timbulnya kluster baru akibat aktiviti mengambil air. Alhamdulillah, kerajaan selalu memikirkan apa yang terbaik dalam memudahkan rakyat di waktu mengalami keadaan seumpama ini," katanya.


Tag: